"Hari ni, saya menang pertandingan pidato di sekolah. Esok, saya ada
lagi pertandingan bahas. Lusa pula, ada persidangan di UIA. Awak jaga
diri sementara saya takde ye? Bukan saya tak nak mesej, tapi saya sibuk.
Jangan tinggal solat."
Hafiz membaca mesej itu dengan perasaan
berbunga. Wardah, gadis yang memang disayanginya dari dulu lagi.
Wardah, bagi Hafiz memang sesuai dengan namanya. Wardah memang sekuntum
mawar nan indah. Harum mewangi. Sukar didekati dan indah di hati.
Namun Hafiz tidak pernah bertemu Wardah. Sekadar mendengar suaranya
yang lunak dan bisa menggugat hati. Bukan dia tidak berkeinginan untuk
bertemu, namun tempat tinggal mereka sangat jauh. Mereka berkenalan
melalui seorang kawan pada dua tahun lepas.
Wardah
tersenyum. Selama 2 tahun perkenalan mereka, Hafiz menjadi permata
hatinya. Wardah memang seorang wanita solehah. Namun perkenalannya
dengan Hafiz menjadi titik tolak perubahannya. Dia lupa makna zina hati
yang dia laungkan pada tazkirah di sekolah. Dia lupa pesan ustazah agar
jangan bercinta pada usia muda, tambahan lagi untuknya yang masih
bersekolah. Apatah lagi dia akan menduduki peperiksaan besar SPM pada
tahun itu.
“Wa, aku tengok kau dah lain. Kau dah pandai layan
lelaki kan? Aku tahu kau sukakan Hafiz tapi ingatlah Wa, cinta sejati
hanya pada Allah,” Ujar Fiza, sahabat Wardah pada suatu hari.
“Fiza, aku kan masih solat? Lagipun kami berpesan-pesan ke arah
kebaikan. Seperti yang dianjurkan Islam,” Balas Wardah, agak teruji.
“Aku rasa kau dah salah konsep, Wa. Dah habis ke perempuan kat sekolah
ni? Ramai lagi aku tengok yang tudung ‘pakai buka’, berkepit dengan
jantan sana sini, kau tak nak berpesan-pesan ke arah kebaikan untuk tu
ke Wa? La taqrabuzzina, janganlah kau mendekati zina. Wa!”
“Aku harap kau janganlah masuk campur. Soal zina, tak perlu kau ingatkan
aku. Aku dah cukup faham maksud itu. Kami tak pernah bertemu. Macam
mana kami berzina?”
“Kau dulu pernah beri tazkirah soal zina
hati. Takkan lupa? Bila hati saling mengingati, aku tengok kau dah
lalai! Lagipun, Allah larang kita mendekati zina, bukan melakukan zina.
Kau belum terlewat untuk bertaubat. Lupakanlah Wa, apa tak cukupkah
Allah sebagai kekasih kau? Dia yang menemani kau siang malam, Yang Maha
Mendengar setiap luahan hati?”
Wardah terdiam. Namun baginya ungkapan Fiza hanya mencurah air ke daun keladi. Dia ingin Hafiz menjadi miliknya!
***************************************************************
Hafiz menikmati makan malamnya dengan lahap. Hari ini kepenatan
menjeratnya kerana terlalu sibuk dengan tugas kepimpinan di sekolahnya.
Namun, Hafiz bersyukur diberi peluang sebegitu. Dia tidak mengeluh
dengan tugasan seperti itu. Baginya, segala-galanya adalah tanggungjawab
yang diamanahkan. Dan tugasnya adalah sebagai pelaksana.
Mungkin hari-hari Hafiz tidak seindah ini jika Wardah tidak menemani
hidupnya. Walaupun Hafiz menyedari hakikat bahawa mereka menghampiri
zina, Hafiz sentiasa terpukau dengan janji manis Wardah bahawa mereka
hanya berkawan. Namun perasaannya sukar ditepis sama sekali. Dia manusia
biasa yang tidak mampu menafikan perasaan cinta yang mula bertunas
dalam hati.
Telefon hafiz berdering.
Pantas Hafiz menggapai telefon bimbit di meja. Panggilan dari Wardah
“Hafiz?”
“Ya, saya,”
“Awak sayang saya?”
“Emm, kenapa awak tanya?”
“Saya tanya sebab nak awak jawab,”
“Wardah, awak perempuan terbaik yang saya kenal. Tak mungkin tiada perasaan cinta saya terhadap awak,”
“Awak cintakan saya?”
“Ya, saya cintakan awak,”
Dan malam itu menjadi saksi antara dua jiwa itu. Sesungguhnya begitulah
syaitan merasuki kita, secara terang-terangan ia bukanlah cinta yang
hina, namun menjebakkan dua insan itu ke alam yang melalaikan.
***************************************************************
“Aku nampak semalam kau keluar dengan Ina?” soal Hafiz curiga.
Perbuatan sahabatnya, Aiman, menggugat ketenangan dan kewibawaannya
sebagai seorang sahabat karib.
“Jadi?” Aiman seolah-olah mencabar Hafiz.
“Aku tak suka. Perkara tu Allah larang,”
“Hafiz, Hafiz! Mentahnya pemikiran kau. Macam mana pula soal hubungan
kau dengan Wardah? Kau ingat aku tak tahu? Habis, yang kau bercinta
dengan dia tu? Ada Allah suruh?”
“Aiman, kami bercinta cara Islam. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada engkau!”
“Ahh, bercinta secara Islam. Kenapa ramai yang kabur dengan persoalan
itu? Bukankah itu tipu daya syaitan. Walaupun aku dengan Ina, aku dan
dia tidak hipokrit macam kau! Ketua pengawas apa kau ni? Sebelum kau
kata baju orang lain kotor, tengok baju sendiri, itu nasihat aku!” kata
Aiman berang sambil berlalu pergi.
Hafiz tertunduk di situ, di
sebuah taman berhampiran rumahnya. Dia menundukkan kepalanya.
Perlahan-lahan, dia berjalan pulang. Dalam perjalanannya, dia
bermuhasabah. Ya Allah, dosakah aku? Aku marah apabila sahabatku
menghampiri zina namun aku juga begitu! Aku ke surau namun aku juga
menghampiri lembah syaitan. Manusia apakah aku?
Malam itu Hafiz
bertahajud. Bermunasabah dan merenungi segala dosa-dosanya. Bagaimana
suara Wardah yang mencairkan hatinya, dan bagaimana dia asyik melayari
alam percintaan dengan Wardah. Dia senang begitu, bermunajat sendirian
dan mengadu pada Allah. Biasanya pada malam-malam begitu masanya
dihabiskan dengan menelefon Wardah hingga lewat pagi. Namun malam itu
dia selesa menutup telefonnya dan menyerah pada Allah. Malam itu juga
dia harus membuat keputusan.
“Eeesh! Mana Hafiz ni!
Biasanya dia telefon aku, ni, mesej pun takde! Telefon pulak off! Dia
ada perempuan lain ke?” rungut wardah sendirian. Hatinya gelisah.
Walaupun jam menunjukkan pukul empat pagi, namun dia setia menunggu
Hafiz. Dia mahu tunjukkan pada Hafiz bahawa dia gadis yang sabar,
mungkin, Hafiz mempunyai urusan yang perlu diselesaikan.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Dia menerima mesej daripada Hafiz.
“Wa, jangan tipu saya lagi! Cukup sampai di sini hubungan kita!”
Wardah terkesima. Dia buntu, apa yang Hafiz maksudkan? Perlahan-lahan, dia membalas mesej itu.
“Apa maksud awak? Awak tak sayang saya?”
“Sudahlah Wa. Pergilah dari hidup saya. Saya tak perlukan perempuan macam awak lagi!”
Wardah mula menitiskan air mata apabila mesejnya tidak dibalas. Dia
beberapa kali menelefon Hafiz tetapi tidak berjawab. Kali ini dia pasti,
Hafiz akan meninggalkannya tanpa sebab!
3 bulan berlalu dengan
perit. Wardah sedaya upaya melupakan Hafiz. Setiap hari Wardah
memeriksa peti emelnya sejak Hafiz memadam telefonnya. Hafiz pasti akan
meninggalkan sesuatu! Hafiz bukan sejahat lelaki lain. Wardah tahu itu
semua.
Hinggalah pada suatu hari, Wardah memperoleh berita yang
dinanti-nantikan. Terketar-ketar jarinya tatkala membuka emel yang
bertajuk ‘Nota Cinta’ itu…
Subject:
Nota Cinta
From:
“Hafiz Haikal”
To:
wardah@yahoo.com
Assalamualaikum...
Kehadapan Wardah, mawar yang dirahmati Allah
Mungkin semasa awak membuka emel ini perasan awak sangat jelik, benci,
kecewa dan banyak lagi terhadap saya.Saya faham itu semua, tapi apa saya
harus buat, ini saya lakukan semua untuk mencari redha Allah. Saya pun
tak tahu nak mula dari mana, tapi saya harap awak faham apa yang saya
tulis.
Sebenarnya mesej yang saya hantar pada pagi itu memang
dirancang. Mesej itu sengaja saya reka untuk saya jauhkan perasaan
cinta saya kepada awak. Mungkin awak terkejut dengan sikap saya, tapi
ada makna di sebalik semua tu.
Sebab utama saya hantar mesej
macam tu sebab nak biar awak benci kat saya dan menjauhkan diri dari
saya. Kenapa saya nak jauhkan diri dari awk?.. Selama kita menzahirkn
rasa cinta dan sayang semenjak tu la hati saya rasa lain. Untuk
pengetahuan awak bila saya lafaz sayang dan cinta kepada awak dan awak
pula membalasnya saya terasa jiwa saya jauh dari Allah, nafsu syahwat
saya naik, rasa ke arah maksiat tu ada walaupun kita tak pernah bersua.
Agak remeh kan kalau orang lain baca, tapi untuk saya yang mempunyai
iman yg rendah macam2 boleh jadi kat saya. Mungkin awak sebagai wanita
tak rasa keadaan begitu tapi saya seorang lelaki memang menyebabkan saya
lemah. Saya takut akan Allah, kekadang saya nasihatkan kawan saya
jangan buat benda 2 tapi saya buat jugak. Orang pandang saya selalu
pakai songkok kat sekolah macam alim, pergi masjid tapi buat benda tu,
tak ke saya ni munafik?
Saya sedar apa yang saya buat
mendukacitakan hati awk. Hati mana yang boleh terima difitnah begitu.
Tapi bila saya buat begitu saya juga rasa berdosa sebab memfitnah wanita
yang solehah. tapi apa kan daya desakan hati.
Awak memang
wanita hebat, setiap kali awak menceritakan kejayaan awak memang saya
cemburu. Kekadang saya fikir kenapa saya tak boleh jadi macam awak. Tapi
saya tetap bersyukur dapat kawan dengan awak. Serius saya katakan awak
sahajalah kawan wanita yang paling rapat dengan saya, yang lain cuma
kawan biasa, jarang saya berhubung dengan mereka.
Untuk
terakhir sekali, perasaan cinta dalam diri saya terhadap awak memang
tertanam dalam hati saya, sebab awak cinta pertama saya. Saya tak
pernah bercinta. Masalah yang saya hadapi sekarang mcm saya katakan di
atas tu la. Walaupun agak remeh tapi saya pandang serius terhadap benda
ni. Sebab Allah tak redhai sebuah hubungan selain daripada pernikahan.
Saya harap dengan penjelasan saya awak akan faham lebih-lebih lagi awak
belajar dlm aliran agama. Sekiranya kita ada jodoh tak kan ke mana.
Itu janji Allah.
Wassalam..
Ikhlas dari hamba yg mencari redha Allah:
HAFIZ HAIKAL
Malam itu Wardah bersujud, pada Allah dia serahkan diri… Hari-hari
dilaluinya dengan redha, tanpa rasa dendam sedikitpun terhadap Hafiz.
Nota cinta Hafiz telah mengubah hidupnya. Hinggalah Wardah memperoleh
keputusan cemerlang dalam peperiksaannya dan Berjaya melanjutkan
pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti al-Azhar, Mesir.
Wardah merenung jauh ke Tasik Titiwangsa yang damai itu. Dilihatnya
pasangan-pasangan muda berpegangan tangan tanpa segan-silu. Dia
bermuhasabah dalam hati. Andai satu ketika dulu dia hanyut dibuai cinta
dengan Hafiz, pasti gelaran doktor pakar mustahil disandangnya.
Sejenak dia memikirkan kata-kata Umminya semalam…
“Wa, bila nak menikah? Ummi teringin nak bermenantu,”
Soalan Ummi itu menggegar tangkai hati Wardah. Kenangan yang cuba
diluputkannya bertahun-tahun dahulu kembali mengusik. Jauh di sudut
hati, Wardah masih mengharapkan Hafiz yang entah ke mana itu. Dengan
menarik nafas panjang, Wardah menyahut,
“Sesiapa sahaja yang Ummi carikan, dialah jodoh Wardah,”
Wardah merenung cincin perkahwinan di jarinya. Cantik! Sekali pandang
Wardah tahu, suaminya pasti dari kalangan orang berada. Hatinya masih
berdebar-debar. Sejak akad nikah tadi, dia masih belum melihat wajah
suaminya. Walaupun Hafiz berada dalam hatinya, dia redha. Biarlah,
pilihan Ummi pasti yang terbaik buatnya. Wardah memejam mata
rapat-rapat, ditahan air matanya dari menitis. Dia ingin menjadi bintang
timur buat suaminya. Biarlah dia seorang…
“Wardah Alia binti
Syukri, sesungguhnya cinta itu lebih indah melalui sebuah ikatan mulia
bernama perkahwinan…” Bisik suaminya, suara yang mendamaikan hatinya.
Wardah membuka matanya, dan menatap wajah penaung jiwanya kini… Hafiz Haikal…
Oleh: mushroom16
Sumber: himpunankisahcinta
Lagu : Nota Cinta
Artis: Saujana
Andainya dapatku menulis
Nota-nota cinta buat diri-Nya
Ingin ku titipkan bersama
Semua kuntuman bunga
Yang indah berseri
Ku sembur haruman mewangi
Bersama kata-kata puji
Sedang Dia tahu kasih dan cintanya aku
Menjalin ikatan menuju ke Syurga
Cintaku kepada Dia
Rinduku hanya pada-Nya
Kasihku tulus buat-Nya
Setiaku balas kasih-Nya
Kasihku kasih yang setia
Pada yang punya
Dambaku pada Yang Esa
Pujian hanya buat-Nya
Akurku kebesaran-Nya
Teragung Maha Suci-Nya
Taatku hamba yang hina
Pada Pencipta
Kiranya aku hilang arah
Jalan hidupku berubah punah
Namun kasih-Nya tak pernah akan musnah
Belas rahmat-Nya terus mencurah-curah
Nur Hidayah-Nya semakin cerah
No comments:
Post a Comment